Tuesday, February 23, 2010

1. Syeikh Daud Fatoni

Munyatul Musolli 1 - Syeikh Daud Fatoni


Baiklah, sekarang kita akan masuk ke satu kitab yang baru iaitu kitab “Munyatul Musolli”. Kitab ini cerita tentang sembahyang. Ia sebuah kitab lama, lebih 200 tahun rasanya usia kitab ini. Tetapi yang ini cetakan baru. Kalau yang asal, tok gurunya tulis dengan tangan.

Pertamanya kita akan berkenalan dengan tuan kitab. Siapa dia pengarang kitab ini? Pengarangnya ialah Syeikh Daud Fatani, satu orang ulama besar di Nusantara ini, di alam Melayu ini. Tengok belakang nama pun kita sudah tahu, dia orang Siam. Daerah Pattani ini banyak melahirkan ulama-ulama besar dan wali-wali Allah. Dan Syeikh Daud Fatani ini pun salah seorang daripada ulama besar dan wali Allah juga. Jadi dia berasal dari Pattani, Siam.

Kalau mengikut sejarahnya, orang Siam ialah orang Melayu dan beragama Islam. Yang beragama Buddha itu ialah orang Thai. Di selatan Siam ini dulu ada beberapa kerajaan Islam. Apabila disebut “orang Siam”, maksudnya orang Melayu Islam. Apabila disebut “orang Thai”, maksudnya orang Thai (dan beragama ) Buddha. Itu bezanya.

Tapi sekarang ini disebabkan percaturan sejarah dan politik, mereka tunjukkan kepada kita seolah-olah orang Siam ini bukan orang Melayu, tapi orang (Thai) Buddha. Asalnya orang Siam ini orang Melayu. Mereka salah satu daripada suku bangsa Melayu. Sama dengan orang Banjar, Mandailing, Madura dan lain-lain yang salah satu daripada suku bangsa Melayu. Tetapi apabila orang Thai dari utara menyerang (dan menakluk) kerajaan Islam di selatan, habis digambarkan seolah-olah orang Siam itu berbangsa Thai. Sekarang jika dikatakan “orang Siam”, kita akan gambarkan orang Buddha (maksudnya percaturan mereka berjaya).

Sebab itu ada orang buat kajian, mereka pergi ke kubur-kubur raja-raja Siam zaman dahulu. Bukannya kubur raja-raja Thai, tetapi kubur raja-raja Siam. Batu nisan kubur raja-raja Siam ini sama dengan batu nisan orang-orang Islam. Siap ada yang bertulisan jawi. Sungguhpun nama mereka nama Siam, sebenarnya mereka ada dua nama. Nama Siam ada, nama Islam (keAraban) pun ada. Rupa-rupanya orang di selatan Siam pada zaman dahulu ialah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Syeikh Daud fatani ini dari segi tauhidnya beraliran Asya’irah. Sama macam kitalah. Dari segi fiqhnya bermazhab Syafie. Sama macam kita juga. Dia ini orang tasauf, dia ada ambil tariqat Satariah. Tuan syeikh kita ini dikatakan lahir pada tahun 1113 Hijrah. Sekarang? 1430 Hijrah. Dia meninggal pada 1297 Hijrah. Umurnya lebih kurang 164 tahun. Namun begitu tahun-tahun yang disebutkan ini bukanlah tahun yang tepat. Ramai orang buat kajian, tahun lahir dan tahun matinya yang sebenar tidak dapat dipastikan. Menurut Dr. Haron Din dalam kuliahnya, umur Syeikh daud Fatani ini 164 tahun. Sebab itu ilmunya banyak (kerana usianya panjang).

Hidup selama 164 tahun, dia boleh menuntut ilmu dalam tempoh yang lama. Sebelum usianya 10 tahun lagi, dia sudah mahir ilmu agama. Selepas itu dia pergi pula duduk di Mekah selama 30 tahun. Tinggal di sana bukan sekadar belajar, tetapi dia juga jadi guru, punya hebat. Duduk pula di Madinah 5 tahun. Patah balik ke Pattani, berjuang jihad, sebarkan agama, berperang...

Banyaklah pengalamannya selama lebih 160 tahun itu. Sebab itu dia banyak ilmu. Dia mengarang lebih daripada 100 buah kitab. Kita hendak karang sebuah buku pun belum tentu. Dia mengarang dalam keadaan tulis tangan, tidak ada computer pada zaman itu. Sehingga sekarang pun kitab-kitabnya masih banyak diajar di surau-surau dan masjid-masjid (juga di pondok-pondok). Antaranya kitab Kifyatul Muhtad, Tanwirul Fawaid, Furuul Masaail, Bughyatul Tullab dan pelbagai lagi.

Yang hebatnya Syeikh Daud Fatani ini, sewaktu dia tinggal di Mekah dulu dia berada di bawah kemarakan fahaman kaum Salafi Wahabi, namun dia tidak terkena fahaman itu. Sebaliknya dia masih mengikut fahaman sebagaimana yang kita pegang (hari ini).

No comments:

Post a Comment

Post a Comment