Tuesday, February 23, 2010

6. Ulangkaji 1


Kita ada masuk kitab yang baru iaitu kitab Munyatul Musolli. Dalam membicarakan kitab ini telah menyentuh tentang peribadi tuan kitab ini iaitu Syeikh Daud Fatani.

Yang keduanya, kita telah memahami bahawa ibadah sembahyang ini ialah jalan orang-orang yang bertaqwa. Jadi sesiapa yang tidak menjaga sembahyangnya kemungkinan besar akan terkeluar daripada golongan orang-orang yang bertaqwa.

Yang keempat, kita juga sudah memahami bahawa sembahyang merupakan penyejuk mata hati Rasulullah. Jadi kita sebagai umat Nabi Muhammad, sebagai pengikutnya, hendaklah menjadikan sembahyang ini sebagai penyejuk mata hati kita juga. Kita usahakan sembahyang kita sampai kita berasa seronok dengan sembahyang dan berasa tenang. Selagi apabila tiba waktu sembahyang kita rasa gelisah, maksudnya sembahyang itu belum lagi menjadi penyejuk mata hati kita.

Yang kelima- bagi orang-orang yang soleh, sebahagiannya menganggap ibadah sembahyang ini sebagai ‘syurga’ di dunia, iaitu syurga yang didahulukan di dunia. Semabahyang itu pada mereka sudah ‘syurga’, punya seronoknya dengan sembahyang.

Sebagaimana kisah yang kita beri dalam kuliah yang lalu. Ada seorang soleh yang sangat mencintai ibadah sembahyang sampaikan dia berdoa kepada Tuhan minta supaya di dalam kubur nanti dia dapat bersembahyang. Sewaktu jenazahnya ditanam, sebahagian daripada orang di sekeliling nampak dia sedang bersembahyang, walaupun dia sudah mati. Maksudnya doanya dikabulkan oleh Tuhan. Punya cintanya dia akan ibadah sembahyang.

Yang keenam- Nabi Muhammad dapat memberi syafaat. Syafaat ini maksudnya markah kita dinaikkan. Lebih-lebih lagi jika markah kita itu sama berat antara hendak masuk ke syurga ataupun masuk ke neraka. Katakanlah berat sebelah hendak ke neraka. Datang Nabi Muhammad beri syafaatnya, beratlah sebelah masuk ke syurga. Kita pun selamat.

Cara untuk dapatkan syafaat ini, kenalah berselawat banyak-banyak. “Allahummasolli ‘ala Muhammad” paling kurang. Selawat ada pelbagai jenis. Ada Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyyah, Selawat Munjiah dan macam-macam lagi. Buatlah yang mana-mana pun. Tapi selawat yang paling afdhal ialah selawat yang dalam sembahyang kita itulah, yang dalam tahiyyat akhir. Jadi berselawatlah banyak-banyak, semoga kita dapat syafaat.

Yang ketujuh- siapakah yang memberi kita faham? Apakah usaha kita ataupun Allah SWT? Dari segi syariatnya, yang memahamkan kita akan satu-satu ilmu ialah usaha kita, otak kita, akal kita. Tapi dari segi hakikatnya, otak dan akal kita tidak ada kuasa. Yang berkuasa bagi kita faham ialah Allah SWT. Jadi kita minta kepada Tuhan supaya bagi kita faham.

Bukan dengan sebab kita tekun, kita rajin, kita suka ‘study’ maka kita faham, kita pandai. Tapi (sebenarnya kita faham itu) atas pilihan Tuhan. Sebab itu ada orang yang rajin belajar tetapi tidak pandai. Ada pula orang yang malas belajar tetapi pandai. Mengapa? Kerana dari segi hakikatnya, yang beri faham ialah Allah.

Yang kelapan- sembahyang ini ialah tiang agama. Seandainya tidak ada tiang agama, maka agama dikira runtuh. Di negara Arab sana, rumah diperbuat daripada batu-batu dan tanah-tanah. Dari mana datang cerita tentang tiang? Orang Arab tengok khemah. Khemah ada tiang utama. Jika tiang utamanya runtuh, maka khemah pun tak boleh berdiri. Begitu juga dengan agama kita. Kalau ibadah solat kita tinggalkan, walaupun kita jenis orang yang rajin berpuasa, rajin menderma, rajin tolong orang, tapi ‘agama’ kita dikira runtuh menurut kata tuan kitab.

Yang kesembilan- untuk menunjukkan pentingnya ibadah solat ini, ia diletakkan pada tangga kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah dalam Rukun Islam. Nabi Muhammad hendak dapatkan ibadah sembahyang ini, dia kena bertemu dengan Allah ‘muka dengan muka’ dalam peristiwa Isra’ Mikraj. Dia pergi ke langit ketujuh, atas lagi untuk dapat ibadah sembahayang. Sedangkan ibadah-ibadah lain- puasa, zakat, haji dan lain-lain semuanya diterima di bumi. Ini menunjukkan betapa tingginya martabat ibadah sembahyang.

Dan yang akhir, yang kesepuluh yang kita bicarakan dalam kuliah yang lalu- tuan kitab kita kata sembahyang ini umpama kepala bagi tubuh. Jika tubuh manusia tidak ada tangan, tidak ada kaki… boleh hidup lagi. Tapi kalau tidak ada kepala… mati! Agama pun begitu juga. Sungguhpun dia rajin bayar zakat, dia rajin menderma (ada tangan), dia rajin tolong orang, rajin buat kenduri (ada kaki), tapi sembahyang tak buat, ‘kepala’ tidak ada, orang itu dikira ‘mati’. Begitu juga dengan agama. Jadi ibadah solat ini sangat-sangat penting.

No comments:

Post a Comment