Friday, March 5, 2010

8. Khusyuk Luaran & Khusyuk Dalaman



“Demikian telah datang pada beberapa hadis Nabi: “Maka menjadikan kami Allah Taala dan kamu daripada orang yang memelihara akan sembahyang yang lima waktu dan dan orang yang muqim bagi sembahyang yakni yang mendirikan dan memelihara akan dia.”


Allah buat kita. Jadi Tuhan jadikan kita ini orang yang jaga sembahyang lima waktu dan orang yang memelihara sembahyang.


“Lagi orang yang khusyuk akan sembahyang.”


Apa maksud khusyuk?


“Yakni tetap hatinya dan anggotanya dalam sembahyang.”


Khusyuk ini ada dua bahagian:

1. Khusyuk luaran.

2. Khusyuk dalaman.


Khusyuk luaran maksudnya anggota badan kita ini tetap ketika bersembahyang, tidak bergoyang-goyang, tidak melihat (berpaling) ke kiri ke kanan.


Satu lagi ialah khusyuk dalaman- hati. Hati tertumpu pada bacaan, tumpu pada Tuhan. Tapi kalau (ketika bertakbiratul ihram), “Allahu Akbar” kita sudah teringat perkara lain, teringat akan rumah, teringat akan kerja dan macam-macam lagi, biasanya begitulah kita, tidak khusyuk.


“Lagi yang mengekalkan atas sembahyang, yakni tiap-tiap sudah sembahyang, mencintai dia hendak mengerjakan sembahyang yang keduanya. Demikianlah selama-lamanya.


Sebenarnya bagi orang-orang yang soleh, selepas habis sesuatu waktu sembahyang, hati mereka sudah ternanti-nanti untuk mengerjakan sembahyang yang satu lagi. Habis saja sembahyang Maghrib, dia sudah rindu akan sembahyang Isya’. Habis sembahyang Isya’, dia sudah rasa rindu hendak bersembahyang Subuh. Habis sembahyang Subuh, dia sudah berasa rindu hendak bersembahyang Zohor.


Kadang-kadang kita dapat perasaan semacam itu. Habis saja satu waktu sembahyang, kita sudah berasa seronok hendak mengerjakan sembahyang yang akan datang. Selalunya tak dapat perasaan begini, tetapi kadang-kadang kita dapat.


Orang yang seperti itu seolah-olah sentiasa dalam keadaan bersembahyang. Hatinya seolah-olah sentiasa dalam keadaan bersembahyang.


“Maka dengan demikian itulah menyuruh Allah SWT akan segala hamba-Nya yang mukmin di dalam kitabnya dan dengan Dia memerikan sifat mereka itu.”


Jadi Allah hendak kita jadi seperti itulah. Iaitu kita jenis orang yang menjaga sembahyang lima waktu, jenis orang yang khusyuk solatnya luar dan dalam, dan kita juga jenis orang yang ternanti-nanti waktu sembahyang.


“Firmannya: “Pelihara akan oleh kamu hai orang yang mukminin atas sembahyang yang lima waktu.”

Wahai orang-orang yang beriman, jaga sembahyang lima waktu.


“Dan pelihara akan sembahyang wusto.”


Sembahyang wusto ini sembahyang apa pula? Solat wusto ini ialah sembahyang Asar. Kenapa disebut sembahyang Asar? Kerana kelebihan sembahyang Asar. Cerita tentangnya akan kita masuk kemudian.


“Dan berdiri kamu bagi Allah SWT mengerjakan kamu akan taat.”


Tuhan perintahkan kita:

  1. Jaga (maksudnya buat) sembahyang lima waktu.
  2. Jaga sungguh-sungguh sembahyang Asar. Kerana sembahyang Asarlah yang selalu kita terlepas, yang selalu kita ringan-ringankan.
  3. Buat amal ibadah sembahyang dengan taat. Bukan kerana dipaksa dan sebagainya.


Sembahyang Asar ini memang begitulah. Jika kita tinggal di bandar-bandar besar, solat Subuh biasanya orang sembahyang, sebab bangun awal hendak pergi kerja. Sembahyang Zohor, di tempat kerja orang buat. Tapi kalau sembahyang Asar, orang sudah sibuk hendak pulang. Dia tidak sembahyang di tempat kerja. Perjalanan pulang pula jauh dan “jamm”. Sampai di rumah sudah waktu Maghrib. Kadang-kadang sampai di rumah dia keluar pula pergi bermain badminton, bola… Jadi sembahyang Asar selalu terlepas. Maghrib dengan Isya’ biasanya orang ramai (berjemaah di masjid atau surau).


Subuh, Zohor, Maghrib dan Isya’ biasanya orang sembahyang. Asar - biasanya orang terlepas.


“Maka dikehendaki dengan selawat itu (dalam hadis tadi disebut selawat, sungguhpun disebut “selawat” tetapi maksudnya ialah sembahyang lima waktu) iaitu sembahyang fardhu yang lima waktu iaitu Zohor dan Asar dan Maghrib dan Isya’ dan Subuh. Maka demikian itu ialah sembahyang yang tiada diluluskan akan seorang daripada orang Islam meninggalkan satu daripadanya…”


“Sembahyang yang lima waktu ini tiada diluluskan meninggal akan dia.” Itu bahasa zaman dahulu. Dalam bahasa zaman sekarang: “Sembahyang yang lima wkatu ini tidak boleh ditinggalkan.” Senang!


“Tiada diluluskan meninggal akan dia.”

Kita kata: “Apa benda yang tok guru cakap ni?”

Maksud sebenarnya- jangan ditinggal walaupun satu. Tak lulus maksudnya tak boleh.


“…pada satu kelakuan daripada segala perlakuannya Islam…”


Kalau beragama Islam, mesti sembahyang.


“…ada ia berakal…”


Beragama Islam dan tidak sewel, tidak mereng, jenis otak cukup - mesti sembahyang lima waktu.


“…dan jikalau sampailah lemahnya barang yang sampai dan sakitnya kepada sangka-sangka sakitnya sekalipun…”


Sekalipun sakit, lima waktu tetap kena buat. Selagi dia beragama Islam, tidak sewel, sekalipun sakit - kena buat. Sekalipun sudah hampir mati, kita tengok memang sudah hampir mati, kena sembahyang juga.


“…tiada diuzurkan meninggal akan dia.”


Itu bahasa zaman dahulu. Maksudnya, kalau kita sakit teruk pun, tidak boleh meninggalkan sembahyang. Tidak dibenarkan meninggalkannya.


No comments:

Post a Comment